Saturday, November 12, 2011

Budaya Melayu pikat Wendy peluk Islam

SAAT manis Wendy sewaktu dinikahkan dengan pasangannya Yacob Chik dua tahun lalu.




Dia pernah bercinta dengan seorang jejaka Cina selama 11 tahun sebelum memeluk agama Islam tujuh tahun kemudiannya.

Namun, jika belum jodoh ikatan selama itu pun belum mampu menyatukan mereka di bawah gerbang perkahwinan. Selebriti berusia 48 tahun itu akur dengan ketentuan Allah dalam merencanakan perjalanan hidupnya selama ini.
Wendy bukan sahaja tidak menduga akan memeluk Islam suatu masa nanti, malah dia turut dijodohkan dengan seorang jejaka Melayu. Tanggal 23 Januari 2009, dia sah dinikahkan dengan pasangannya, Yacob Chik.

Menurut anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang itu jodohnya sampai selepas tujuh tahun dia putus cinta dengan kekasih lamanya itu. Semua itu ujar Wendy, di luar jangkauan pemikiran dan perancangannya yang sering tersasar.

Bagaimanapun, jelas Wendy dia tidak menafikan minatnya terhadap gaya hidup orang Melayu yang sederhana dan penuh dengan sopan santun banyak menjentik sudut hatinya.

Lantaran itu, dia yang pernah berlakon dalam filem berjudul Bara pada tahun 1999 bersama Awie dan Nasha Aziz berkata, minat itu sedikit demi sedikit menyebabkannya cuba mendekati agama Islam dan budaya Melayu secara lebih mendalam lagi.

"Sewaktu zaman kanak-kanak dulu, saya bukan sahaja tidak fasih berbahasa Melayu, malah pengetahuan tentang agama Islam juga sangat cetek sehinggalah pada awal tahun 1990-an apabila saya terbabit dalam bidang lakonan drama TV.

"Ketika itu, saya banyak berkawan dengan ramai pelakon Melayu. Antaranya N.D. Lala dan Connie Ahmad. Mereka inilah yang sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada saya tentang agama Islam.

"Penulis lirik, Kak Chah (Habsah Hassan) juga banyak mengajar serta memberi dorongan kepada saya supaya memeluk agama Islam," ungkapnya yang merupakan penerbit dalam syarikat produksi miliknya, Produksi Seni 2020 Sdn. Bhd.

Minat yang mendalam terhadap budaya masyarakat Melayu semakin menebal dalam jiwanya sebelum dia memeluk agama Islam dan sekali gus mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang kini berusia 60 tahun.

Tambah Wendy, sikapnya yang begitu menyanjungi budaya Melayu itu dapat dilihat terutama sewaktu ketibaan Hari Raya Aidilfitri di mana dia tidak mahu ketinggalan menyambutnya dengan rakan-rakan Melayunya.

"Saya tertarik dengan banyak budaya Melayu. Contohnya, budaya anak-anak kecil yang mencium tangan ibu bapa atau orang yang lebih tua daripada mereka.

"Hati saya mudah tersentuh apabila melihat keadaan ini di mana tidak semua budaya ada adap seperti itu. Malah, sebelum memeluk Islam lagi, saya sudah cuba belajar berpuasa walaupun pada mulanya selama setengah hari sahaja.

"Saya juga sudah merayakan Hari Raya Aidilfitri sebelum memeluk Islam. Pada ketika itu, saya biasanya akan beraya dengan memakai baju kurung.

"Setiap kali raya, saya mesti menempah sekurang-kurangnya empat pasang baju kurung. Sekarang ini, saya ada empat almari baju kurung yang saya tempah atau beli sejak dulu sampai sekarang.

"Semua itu sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk memeluk agama Islam," ujarnya yang masih belum dikurniakan cahaya mata daripada perkahwinannya itu.

Anak kelima daripada 10 beradik ini bagaimanapun berkata, dia memeluk Islam bukan semata-mata atas niat untuk berkahwin, sebaliknya ia lahir daripada lubuk hatinya yang mengakui kesyumulan agama itu sendiri.

"Saya memeluk agama Islam atas kerelaan hati dan atas dasar kefahaman saya tentang agama Islam.
"Sebelum ini, sewaktu saya belum bersedia memeluk Islam, ada juga kawan Melayu yang suruh saya terus masuk Islam.
"Saya kata, saya tidak suka lakukannya secara terburu-buru.
"Saya perlukan masa dan apabila sudah sedia maka barulah saya memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu," akuinya.

Utusan Malaysia - 12/11/2011



No comments: