Sunday, September 4, 2011

Islam di Ayuttaya

Foto
Candi Buddha di kota sejarah Thailand menghadap kiblat

SELEPAS akur dengan kekuatan dan ilmu agama dan kekuatan yang dimiliki Sheikh Ahmad Qomi atau turut dikenali sebagai Sheikh Samad Maimun, seorang pendakwah yang berasal dari Pakistan, seorang sami Buddha di Ayutthaya akhirnya akur dan mengakui kehebatan ajaran Islam.

Malah, sebaik beliau tewas dengan ujian yang dimulakannya sendiri, sami berkenaan yang dikenali sebagai Ku Cham akhirnya menyerah serta mengakui beriman kepada Allah dan akhirnya memeluk Islam.
Keislaman sami berkenaan juga menarik perhatian kebanyakan pengikutnya yang turut mengakui Islam adalah agama benar dan meninggalkan ajaran Buddha yang mereka anuti.






Imam Masjid Takiya, Abdul Kadir Thanitip, berkata tapak asal masjid yang dianggarkan berusia lebih 300 tahun itu sebenarnya bekas wat Buddha tetapi diubah menjadi masjid selepas sami Ku Cham memeluk Islam.


“Masjid ini kemudian dikembangkan secara berterusan sehinggalah ke hari ini, bagaimanapun banyak warisan bersejarah dan berharga tidak dapat dipulihara sebaiknya kerana kekangan kewangan,” katanya.


Masjid Takiya bukan saja menjadi antara destinasi wajib dikunjungi komuniti Islam Thailand, malah turut dikunjungi warga Islam dari luar serta penganut agama Budhha untuk mengetahui dengan lebih dekat sejarah masjid berkenaan.
Di sekeliling masjid terdapat perkampungan masyarakat Islam yang dipercayai berasal dari Parsi ketika zaman pemerintahan kerajaan Islam Ayutthaya iaitu Raja Songtham.


Sheikh Ahmad Qomi atau lebih dikenali sebagai Chao Kun Takia turut dimakamkan bersebelahan masjid yang kini dijaga rapi dan dianggap keramat oleh sesetengah pihak.


Selain makam Chao Kun Takia, ada beberapa makam lain di sekitar perkarangan masjid, dipercayai pengikut beliau dan pengikut sami yang akhirnya memeluk Islam selepas Ku Cham memilih Islam sebagai agamanya.


Abdul Kadir berkata, mengikut sejarah, masjid berkenaan pernah jatuh ke tangan Myanmar ketika penaklukan Raja Sukhothai tetapi berjaya dirampas kembali hasil bantuan kerajaan Thai bersama-sama penduduk Islam di kawasan itu.


Ketika ini terdapat kira-kira 4,000 penduduk Islam mendiami kawasan itu dengan keadaan penempatan dibina mengelilingi kawasan masjid.
Foto
Penulis bersama rombongan Jejak Warisan Jawi yang menziarahi masjid berkenaan turut diberi kesempatan melihat koleksi al-Quran tulisan tangan yang dipercayai berusia lebih 200 tahun yang masih tersimpan tetapi tidak dipulihara dengan baik berikutan kekangan kewangan.

Seorang penduduk, Mohamed Hasan, berkata ada banyak pihak cuba mengambil koleksi berkenaan dengan alasan untuk memuliharanya tetapi penduduk bimbang ia tidak dipulangkan kerana hanya itu saja tinggalan sejarah yang ada mengenai zaman kegemilangan Islam masyarakat Islam Ayutthaya.

Sayu bercampur simpati, terlintas di benak hati penulis bagaimana agaknya keadaan generasi di situ pada masa akan datang untuk terus mengenal susur galur mereka sekiranya warisan yang masih ada tidak dipulihara dengan baik kerana kekangan sedemikian, sedangkan di negara kita kerajaan berbelanja jutaan ringgit memulihara khazanah yang sebegitu daripada terus hilang ditelan masa.

Ketika meninjau kehidupan masyarakat Islam di Ayutthaya, kehidupan mereka tidak banyak berbeza dengan kehidupan masyarakat Islam minoriti di beberapa daerah lain di Thailand.

Menjadi golongan minoriti kedua selepas kaum Cina, kehidupan mereka rata-rata dihimpit kemiskinan dan terus berjuang untuk mengekalkan identiti walaupun terpaksa berdepan dengan proses asimilasi Thai.

Apa yang menjadi perhatian dan persoalan sepanjang berada di kota bersejarah ini ialah pengkaji sejarah mendapati beberapa candi Budhha yang ada di keseluruhan kota Ayutthaya yang dianggap sebagai kota sejarah Thailand, terletak pada kedudukan yang menghadap kiblat.

Fakta itu sedikit sebanyak menimbulkan persoalan apakah ia sebenarnya tapak masjid yang dirobohkan ketika penaklukan Thai ke atas Ayutthaya yang ketika itu diperintah oleh Raja Islam Siam atau sebaliknya kerana mengikut fakta sejarah, Ayutthaya pernah menjadi kota pemerintahan bagi kerajaan Siam Islam.

Fakta itu ditambah lagi maklumat yang diperoleh daripada ahli sejarah Kedah yang menyatakan bahawa Maharaja Ayutthaya terakhir iaitu Boromoraja Ekataat Maha Damayaza hanyalah gelaran saja.

Ia sebenarnya bermaksud Pembesar Daripada Berlainan Darah Keturunan dan nama sebenar baginda ialah Khalifah Syarif Abu Bakar Shah.

Selepas Ayutthaya ditawan, baginda berundur ke Istana Nakhon Si Thammarat dan dikenali sebagai Raja Bakar atau Raja Nambang (Air Telok) seperti tercatat dalam sejarah Pattani dan Syarif dalam manuskrip Undang-Undang Kedah





: sumber Berita Harian 2010





No comments: